Harga kuda belang yang sangat mahal menyebabkan pihak Zoo Happy Land di Gaza terpaksa mengecat keldai untuk menjadi hiburan kepada para pengunjungnya.
DARI jauh kelihatan dua ekor haiwan berbelang putih dan hitam mendiami sebuah sangkar setinggi kira-kira dua meter. Bagi sesiapa yang kali pertama melihatnya, pasti menyangka haiwan itu adalah kuda belang.
Namun jika melihatnya lebih dekat, barulah anda akan perasan bahawa ia bukan kuda belang, sebaliknya haiwan yang sering dikenali sebagai dungu atau bodoh iaitu keldai.
Itulah situasi yang berlaku di Zoo Happy Land di Gaza yang menjadi tarikan penduduk tempatan. Mereka berjaya menghasilkan kuda belang daripada seekor keldai.
Dua ekor haiwan istimewa itu menjadi simbol kehidupan kepada penduduk Gaza yang sentiasa berada di bawah kepungan Israel selain dianggap satu jenaka bagi sesetengah pihak.
"'Kuda belang' itu merupakan keluaran asli tempatan. Kami mengambil dua ekor keldai dan melukis belang di atas kulit mereka," kata Pengarah Zoo Happy Land, Mahmud Barghut sambil tersenyum lebar.
Operasi khas itu mengambil masa dua hari dan melibatkan penggunaan pita pelekat dan rambut berwarna dari Perancis di mana Barghut mengatakan ia hasil terbaik untuk kerja tersebut.
Unik
Apabila dikerumuni pelawat, dua haiwan unik tersebut hanya mampu merenung sayu ke arah pengunjung dari kandang yang didiami.
"Kami tidak mampu membeli kuda belang yang sebenar. Oleh itu, inilah cara terbaik untuk mendapatkannya," tambah Barghut lagi.
Sejak kerajaan Hamas memegang tampuk kekuasaan di Tebing Gaza pada tahun 2007, rakyat Palestin terpaksa berada di bawah kepungan di mana Israel dan Mesir hanya membenarkan bekalan asas seperti makanan dibawa masuk.
Sejak itu, ratusan terowong penyeludupan telah dibina di bawah sempadan dengan Mesir untuk membawa pelbagai barangan daripada senjata kepada kereta, petrol dan permainan.
Bagaimanapun, terowong tersebut menelan belanja yang mahal dan Israel menjadikan ia lebih teruk apabila bertindak mengebom terowong penyeludupan itu baru-baru ini.
Malah, seekor singa dan dua burung unta yang ada di zoo tersebut dibawa masuk menerusi terowong penyeludupan itu ketika haiwan tersebut masih kecil lagi, tetapi kuda belang dilarang.
"Ia boleh menyebabkan kita mengeluarkan belanja sebanyak AS$30,000 (RM102,825) untuk mendapatkan seekor kuda belang asli. Tetapi, seekor keldai boleh diperoleh pada harga AS$700 (RM2,399) sahaja.
Penyeludupan haiwan liar ke Gaza menarik perhatian masyarakat antarabangsa pada Mac 2007 apabila pegawai Kesatuan Eropah (EU) yang memantau sempadan Rafah dengan Mesir ketika itu menangkap seorang wanita Palestin yang cuba menyeludup tiga ekor buaya hidup.
Reptilia kecil itu masing-masing berukuran 40 sentimeter panjang, ditemui terikat di bawah lapisan jubah longgar yang dipakai wanita berkenaan.
Apabila disoal, wanita tersebut memberitahu pengawal sempadan bahawa dia mahu menjual haiwan itu kepada pihak zoo di Gaza.
Sumber hiburan
Di dalam wilayah yang memiliki kira-kira 1.5 juta penduduk, kekurangan sumber hiburan membuatkan zoo yang terletak di pinggir Bandar Gaza itu menjadi amat popular.
"Tiada apa di sini melainkan zoo atau pantai. Hanya inilah yang dapat menghiburkan penduduk di bandar ini," ungkap Barghut dalam nada perlahan.
Namun, bagi pengunjung dari luar mereka mungkin mendapati Zoo Happy Land tidak sepadan dengan namanya kerana ia dianggap satu kawasan yang amat menyedihkan.
Selain daripada dua ekor 'kuda belang' tiruan, singa dan dua ekor burung unta, hanya terdapat unta dan beberapa ekor burung di dalam zoo tersebut.
Sangkar kurungan juga amat kecil dan makanan yang disediakan untuk kesemua haiwan terpaksa dicatu. Singa akan diberi makan sepuluh kilogram daging setiap hari di mana jumlah tersebut kurang separuh daripada amaun yang sepatutnya.
Situasi itu menyebabkan haiwan-haiwan di zoo tersebut sering sakit dan ubat yang diperlukan sukar diperoleh.
"Jika terdapat kumpulan perlindungan haiwan di sini, sudah pasti mereka akan menangkap kami kerana menganiaya haiwan. Tetapi percayalah, saya sendiri sering memberitahu diri saya bahawa adalah menjadi satu dosa jika tidak menjaga haiwan ini dengan sebaiknya. Apa pun, saya cuba lakukan yang terbaik," tutur lelaki itu lagi.
Sepatutnya terdapat beberapa lagi haiwan di Zoo Happy Land termasuk harimau bintang dan monyet, tetapi mereka terbunuh sewaktu serangan tentera Israel awal tahun ini.
"Kebanyakan haiwan itu mati kerana kehausan dan kelaparan. Untuk tempoh tiga minggu, kami tidak mampu mengendalikan zoo. Malah, kereta kebal Israel turut diletakkan di hadapan pintu masuk zoo," imbasnya.
Barghut mengakui sayangkan zoo mini yang dibina sejak setahun lalu, namun selepas mengeluarkan semua wang untuk menjayakannya, dia kini sudah berputus asa dan mengambil keputusan untuk menjual taman haiwan itu.
"Saya tiada wang lagi untuk menguruskannya. Ia tidak memberi pulangan langsung kepada saya."
Disebabkan kebanyakan penduduk Gaza miskin dan berpendapatan rendah, Barghut terpaksa mengekalkan bayaran masuk pada harga RM1 untuk setiap kanak-kanak.
"Zoo ini amat bermakna buat kanak-kanak. Apabila mereka datang ke sini, mereka gembira dan berseronok menyaksikan semua haiwan yang ada. Mereka mahu melihat singa dan kuda belang yang dianggap haiwan sebenar.
Tetapi, bagi Yara al-Masri yang berusia empat tahun, dia mengetahui kebenarannya. Katanya: "Saya tahu ia bukan kuda belang sebenar, tetapi ia keldai yang cantik." - AFP
0 ulasan:
Catat Ulasan